SELANGOR FC
BERITA

Young Giants : Harry Danish dan Haykal Danish

Apr 15, 2025 - FAS

Dua beradik anak kelahiran Klang, Harry Danish dan Haykal Danish telah disenarai pendek sebagai tiga calon Pemain Piala MFL Terbaik bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024/25.

Dengan perbezaan satu tahun, Harry Danish atau Harry, abang, mula menyertai skuad bawah 18 tahun Gergasi Merah pada musim 2022. Beliau merupakan pemain tonggak skuad bimbingan Firdaus Tan yang berjaya menjulang piala kejuaraan saingan Piala Belia 2022. Harry kemudian dinaikkan pangkat ke pasukan bawah 20 tahun skuad Merah Kuning tahun 2023, sebelum berjaya menembusi skuad ‘feeder’ Selangor FC untuk musim terakhir Piala MFL 2024/25.?

Manakala, Haykal Danish atau lebih mesra dengan panggilan Manja, terus menembus masuk skuad bawah 23 tahun Selangor FC sebaik sahaja tamat pengajian di Akademi Mokhtar Dahari pada tahun 2023. Meskipun bertubuh kecil namun mempunyai teknikal yang sangat baik, beliau terus menjadi pemain tonggak skuad ‘feeder’ Gergasi Merah untuk dua tahun berturut-turut, 2023 dan 2024/25. Malah, beliau juga merupakan ‘vice captain’ dalam pasukan sepanjang bersama pasukan.

Menzahirkan perasaan bersyukur selepas di senarai pendek sebagai tiga calon Pemain Piala MFL 2024/25 bersama adiknya sendiri, “Saya memang tak sangka langsung tersenarai (dari awal) dan disenarai pendek sebagai tiga calon Pemain Terbaik Piala MFL, nak lagi dapat tercalon sekali dengan adik saya sendiri. Ini sedikit sebanyak berikan motivasi yang tinggi untuk saya terus yakin dengan kelebihan yang saya miliki dan akan berikan yang lebih baik di masa akan datang.”

Manakala, Manja pula harap dapat memberikan saingan yang baik, “Saya turut tidak menyangka dapat tersenarai pendek untuk kategori ini sebab ramai pemain yang bagus dan berkualiti dalam saingan Piala MFL, bukan senang sebenarnya nak tercalon. Lebih lagi pesaing kami, Gab (Gabriel Nistelrooy), jelas telah menjaringkan jumlah gol yang banyak tetapi saya harap dapat berikan saingan yang baik kepada beliau. Saya harap ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya berikan lebih baik dalam karier bola sepak saya.”

Sentiasa menyokong kedua anaknya dalam sukan bola sepak sejak dari mereka kecil, Bonda Harry dan Haykal bangga dengan pencapaian anak-anaknya, “Alhamdulillah, pertama sekali sebagai ibu kepada Harry dan Manja, bonda sangat bersyukur kedua anak-anak bonda dapat tercalon dalam anugerah ini. Perasaan bonda memang sangat bangga dengan kerja keras yang mereka berikan untuk diri sendiri dan pasukan. Bonda doakan mereka berjaya dunia dan aktirat, serta semoga terus cekal untuk berikan yang terbaik dalam bidang diceburi ini.”

Pihak pengurusan Selangor FC doakan yang terbaik untuk Harry Danish dan Haykal Danish. Semoga dengan pencapaian ini membantu mereka untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

Demi Kebanggaan!